Hasrat peminat sukan tempatan untuk melihat aksi pemain apit kanan PDRM, Shahalril Aiman Halim bersama skuad sepak takraw negara akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya terpilih menghadapi saingan Piala Raja Thai 2023 yang bermula pada 9 hingga 16 julai ini.

Nama Shahalril Aiman sentiasa menjadi bualan peminat sukan sepak takraw menerusi rejaman-rejaman derasnya sepanjang saingan Sepak Takraw League (STL).

Kecemerlangan Shahalril Aiman turut membantu pasukan PDRM Defenders menjuarai  Divisyen 1, STL 2023 selepas menundukkan Terengganu Turtles 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium MABA, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Justeru itu, para peminat menyifatkan Shahalril Aiman ada potensi untuk pergi lebih jauh dan tidak mustahil Malaysia mampu mengejutkan juara bertahan, Thailand.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kali ini menghantar 24 pemain di kejohanan berkenaan.

Skuad lelaki negara dibarisi Muhammad Syahir Mohd Rosdi; Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin; Muhammad Hairul Hazizi Haidzir; Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican; Mohamad Azlan Alias; Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar; Muhammad Noraizat Mohd Nordin; Muhammad Shahalril Aiman Halim; Farhan Adam; Amirul Zazwan Amir; Aidil Aiman Azwawi dan Mohd Muqlis Borhan.

Skuad wanita pula disertai Siti Norzubaidah Che Ab Wahab; Nur Natasha Amyra Fazil; Nurul Syafiqah Jafri; Nur Fatihah Sharudin; Madziatul Rosmahani Saidin; Nur Athirah Roslan; Razmah Anam; Nadillatul Rosmahani Saidin; Sharifah Fifi Nurdyana Wan Muhamat Abd Rahim; Kamisah Khamis; Emilia Eva Natasha Saudia dan Nurakhirah Syafa Aminuddin.

Kejohanan Piala Raja Thai akan menjadi kayu pengukur prestasi pemain sebelum dipilih mewakili negara di Sukan Asia tahun ini.

“Saya harap pemain negara perlu bersiap sedia untuk mempamerkan aksi cukup baik menjelang Piala Raja Thai kerana kita akan hantar pemain yang benar-benar baik untuk menyarung jersi negara,” kata Ketua Jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun.

Difahamkan lebih 700 atlet dan pegawai akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai 2023 itu yang berlangsung di Korat Thailand dengan Persekutuan Sepaktakaw Antarabangsa (ISTAF) bakal melakukan beberapa perubahan dalam penggunaan sistem ‘challenge’.